Thursday, September 2, 2010

"STRICTLY: NO PARKING"


KISAH INI ADALAH BERDASARKAN KISAH YANG TERJADI DI SUATU KAWASAN RUMAH YANG BOLEH DIKATAKAN SEPERTI SETINGGAN. CUMA BAHAGIAN AKHIRNYA AKU OLAH SENDIRI MENGIKUT APA YANG AKU AKAN JAWAB JIKA AKU DISERANG OLEH SEORANG MAKCIK YANG SOMBONG YANG TIDAK BERTIMBANG RASA.

 


Tak tertahan lagi rasanya kemarahan makcik Zainon dengan sikap jiran-jirannya. Makin meluap-luap. Libang-libu perut kata orang Perak. Budak-budak muda yang menyewa di rumah sebelah rumah makcik Zainon bersenang-lenang meletakkan kenderaan mereka di tanah lapang sekangkang kera di tepi rumahnya. Mentang-mentang pokok mangga dan kelapa berdiri megah di situ menjadi pelindung daripada cahaya matahari yang terik. Pada mulanya sebuah kereta, tidak mengapa. Sekarang sudah bertambah lagi dua buah.

Tindakan segera yang berkesan harus diambil. Esoknya makcik Zainon mengupah seorang Indon menebang pokok-pokok teduh di sebelah rumahnya itu. Baru padan muka. Mesti mereka tidak akan meletakkan kereta di situ lagi. Upah dihulur, tapi tetap tanah kawasan itu diletakkan kereta mereka. Tanpa sedar tindakan terburu-buru makcik Zainon itu membawa faedah kepada gadis-gadis yang bekerja sebagai guru di sekolah berhampiran rumah makcik Zainon. Sebenarnya, mereka bimbang buah kelapa mendarat di atas bumbung ataupun cermin hadapan kereta. Sudahlah tidak boleh dirujuk ke syarikat polisi insurans kereta jika terjadi sedemikian, getah dan daun-daun kering mati pokok mangga selalu memenuhi badan kereta mereka.

Minggu hadapannya, makcik Zainon mengupah kontraktor untuk membina pagar sekeliling rumahnya. Akibat rumahnya dipecah masuk pencuri. Lebih tinggi pagar, lebih sukar untuk pencuri masuk lagi. Lebih sempit kawasan untuk budak-budak yang tidak berkesedaran sivik itu untuk meletak kereta. Sesudah tersergam indah pagar itu, dihiasi oleh satu papan tanda yang tertulis "STRICTLY: NO PARKING". Makcik Zainon pun pandai Bahasa Inggeris juga.

Tapi keesokkan harinya, berderet lagi kereta di luar pagar rumah makcik Zainon. Tak boleh jadi begini. Ditunggunya budak-budak cikgu itu pulang dari sekolah. Serangan disusun, strategi diatur.

Makcik Zainon: Amboi-amboi. Sedapnya kamu letak kereta kat sini. Tak nampak ke makcik dah letak notis ini?

Wakil peletak kereta: Nampak. Tapi makcik kenala timbang rasa sikit. Kawasan rumah kita ni kat mana lagi nak letak kereta. Rumah semua rapat-rapat.

Makcik Zainon: Aku tak kira. Ini tanah aku. Aku ada geran. Aku dah pagarkan rumah aku, aku ingatkan korang ni dapat la mesej tersirat aku. Mulai sekarang, aku taknak tengok kereta korang kat sini lagi. Letak tempat lain. Jangan letak kat tanah aku.

Wakil peletak kereta: Tapi makcik, kalau tempat kitorang letak kereta ini tanah makcik, kenapa makcik tak pagarkan sekali???

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails