Monday, June 28, 2010

Imam Muda Astro Oasis


Hmmmm... Bagaimana hendak bermula ya?

Secara jujurnya, artikel ini bukanlah anti-program berterapkan ajaran Islam. Tetapi lebih kepada anti-program realiti tv. Sehingga menggunakan Islam sebagai modal atau wadah dalam rancangan realiti amat memalukan jika niat dan objektif asal tidak dapat dicapai atau disampaikan.

Program Imam Muda. Bagus, segar, lain daripada yang lain kerana memaparkan dan mengetengahkan bakat-bakat baru sebagai pemimpin agama terutama sebagai imam. Ganjaran untuk pemenang program ini adalah sebuah kereta bernilai lebih RM150,000, pakej menunaikan haji, wang tunai RM20,000 serta komputer riba Apple Macpro dan peluang melanjutkan pelajaran di Universiti Antarabangsa Al-Madinah, Arab Saudi. Malah pemenangnya juga akan ditawarkan memegang jawatan imam di masjid utama di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Itu ganjaran duniawi. Ganjaran yang lebih besar adalah ilmu agama yang tidak dapat dinilai dan ditukarkan dengan sebarang harta di dunia.

Terkejut rasanya apabila melihat sedutan penyingkiran rancangan ini. Ada peserta yang tidak dapat menahan kesedihan. Mungkin atas dasar persahabatan yang baru sahaja dibina. Tetapi mengapa begitu tipikal dengan rancangan realiti yang lain yang lebih memaparkan hiburan? Bukankah ini rancangan agama? Mengapa perlu ditangisi jika ada yang tersingkir? Kita mahukan seorang imam yang bersemangat tinggi, yang mampu menghadapi segala dugaan dan masalah. Tidakkah mereka tahu setelah tamat program ini mereka masih berpeluang bertemu di luar. Jangan mengikut langkah realiti hiburan lain yang menyajikan penonton tangisan hanya untuk meraih simpati.

Sebenarnya, ilmu agama tidak manis dipertandingkan tambahan pula disertai dengan penyingkiran peserta. Berminggu-minggu berbulan-bulan dihabiskan untuk satu pertandingan seperti ini. Mengapa tilawah al-Quran boleh dilangsungkan dalam tempoh seminggu sahaja dan tiada penyingkiran pula tetapi masih relevan sehingga sekarang? Jika niat peserta itu menyertai pertandingan ini untuk menimba dan menambah ilmu agama Islam, bukankah agak kejam pihak penerbit menafikan hak mereka untuk belajar sehingga tamat program tetapi disingkirkan terlebih dahulu. Tidak adil begitu. Kenapa semua peserta tidak diberikan peluang belajar sehingga tamat? Seperti dinyatakan di atas, tidak manis rancangan agama ada penyingkiran.

Dan jika peserta memasang niat menyertai pertandingan ini bukan sekadar belajar ilmu agama tapi untuk menang, bukankah niatnya sudah terpesong? Seolah-olah tidak ikhlas untuk belajar. Sudah adat pertandingan, semestinya ada perasaan dengki, cemburu mahupun iri hati terhadap peserta lain. Bukankah tidak manis begitu?

Kita ini terlalu disajikan dengan rancangan realiti. Sehingga gadis-gadis Melayu pun dipertandingkan. Terlalu mengikut Barat tetapi terpaksa sadurkan dengan nilai-nilai tempatan. Untuk program semurni hasrat Imam Muda ini, sebaiknya janganlah ada penyingkiran peserta. Mereka datang untuk belajar.

IKLAN:
Dulu, Mawi diangkat sebagai ikon. Kononnya seorang yang kuat agama. Tapi orang yang kuat agama itulah yang terkinja-kinja di atas pentas. 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails