Saturday, July 10, 2010

Biarkan Luncai Terjun Dengan Labu-Labunya


Luncai? Tak sesuai. Kelembai lebih sesuai.

Ada juga rupanya manusia yang suka memporak-perandakan hidup orang. Mestilah. Kalau tak, Amerika tak serang Iraq lah kan.

Dan bila tak berjaya, buka cerita. Cerita pasal subjek yang dihajati untuk diporak-perandakan. Ketika berpenglipurlara tentang subjek itu, adakah dia turut mengaku bahawa dia turut mengutuk rakan baiknya pada masa yang sama? Sudah tentu tidak. Kurang realistik rasanya untuk mendidihkan kemarahan orang lain terhadap subjek jika dia pun turut mengaku pernah berkata jijik terhadap rakan-rakannya. Alangkah baiknya sekiranya rakan-rakan dia turut mengetahui apa yang dibualkan tentang mereka....

Situasi: Beratur untuk mengambil makanan di kantin. Si B beratur di belakang A dan Si C beratur di belakang Si B. Si C tiba-tiba mencucukkan jari di pinggang A sehingga makanan si A jatuh ke lantai. Tapi Si C menuding jari ke Si B, kononnya Si B yang berbuat sedemikian. Kononnya tangannya pendek, tidak sampai untuk mencucuk pinggang Si A. Maka si B lah yang dipersalahkan.

Hidup dan cara aku ringkas. Bila seseorang bertanya, bila, di mana, aku akan terus kemukakan jawapan. Tapi jika disalahanggap itu, mungkin antara yang manis bagi orang tersebut. Oh ya, mungkin aku yang terlupa. Sel-sel otakku sudah kurang berkembang. Almaklumlah, tidak mendapat nutrisi seperti terkandung di dalam susu Anmum Essentials yang diwar-warkan Wardina Safiyah itu. Mungkin aku yang bertanya. Lupa sudah. Cuma nasihat aku lebih afdal jika didengar daripada kedua-dua pihak. Mahkamah tidak relevan jika hanya pihak plaintif sahaja dibenarkan berhujah. Defendan perlu diberi peluang. Oh ya, bukan setakat teman lelaki tidak boleh dipercayai 100%, teman baik anda juga. Nasihat global dan universal, sesiapapun boleh terima.

Sekadar ingin bercerita. Sekawanan lembu meragut rumput di padang dengan tenang sambil menghirup udara segar. Datang seorang kanak-kanak nakal dengan batu di tangan kanannya, dan lastik di tangan kirinya. Dengan tidak semena-mena budak itu terus melompat ke atas belakang seekor lembu. Apa tindakan lembu tersebut?
a) Tersenyum simpul. Lalu berlari-lari anak membawa budak itu mengelilingi padang rumput itu lagak seekor kuda baru selesai aksinya dalam sukan ekuestrian.

b) Naik berang lalu bertindak ganas seperti seekor lembu dalam sukan rodeo.

Pilih jawapan anda.

Begitu juga dengan manusia. Tambahan pula dengan akal yang normal dan sehat, tiba-tiba diganggu oleh seorang manusia lain yang tidak pernah dihina dan dijentik sedikit pun. Pasti marah bukan? Tak begitu, kawan? Jadi bila aku tidak masuk campur dalam kehidupan kamu sehari-hari, begitu jualah harapan aku kepada kamu yang berhati mulia. Jangan menyibuk dalam hidup kami. Banyak sangatkah masa anda sampai bisa diluangkan dengan menyibuk dalam hal orang lain?

Setelah difikir-fikirkan dan dihisab oleh otak aku yang makin berkecamuk disebabkan oleh makhluk halus ini, rasanya ini adalah kali terakhir aku mengeluarkan kenyataan sejak krisis ini dimulakan beberapa bulan yang lepas. Dan harus diingat, bukan aku yang mulakan. Tarik nafas perlahan-lahan dan lepas, kemudian dabiklah dada mengakulah kamu yang mula menyiram petrol di atas bara api. Bukan sebab aku kalah atau takut, tapi aku rasa diam lebih baik berbanding kecoh di alam siber ini seperti kanak-kanak bergaduh ketika bermain pondok-pondok. Sedih. Ada banyak lagi benda yang harus aku fikirkan dalam hidup aku ini berbanding melayan mulut-mulut bongkak dan hati-hati busuk kaum manusia ini. Kamu pun bukan budak hingusan lagi. Matang dan amat teratur kehidupan kamu. Semua cukup dan sempurna. Berilah peluang untuk kami hidup cara kami. Yang susah pun bukan kamu, bak kata seseorang, bukan duit kamu yang kami guna. Sekadar meminjam kata-kata hikmat orang lain. Perlu letakkan penghargaan agaknya kan?

Lagipun aku juga tidaklah arif dalam bidang informasi teknologi, hanya seorang yang hanya memanipulasi teknologi ciptaan golongan-golongan pakar. Bergaduh-gaduh, bertelingkah di internet, amat bodoh sekali. Jika benar ikhlas, cari satu masa dan tempat yang sesuai, luahkanlah apa yang terbuku di hati kamu itu. Aku mungkin tidak sedar terkasar pertuturan ataupun mungkin terpijak kaki kerdil mu itu. Jika berani silakan. Oh, terlupa pula. Cara kamu untuk menasihati orang hanyalah melalui dunia siber. Ok, arahan diterima. Cukup setakat ini sahaja. Aku tak mahu melihat mana-mana pihak membangkitkan perkara ini lagi selepas ini. Hidup anda, hidup anda. Hidup aku, hidup aku.

Cukuplah melabelkan aku manusia kera sumbang, tidak mempunyai kawan, perlu tinggal di pulau katanya. Kamu tidak layak mengadili aku. Tidak mengenali aku sepenuhnya mungkin. Bukan mungkin, tapi pasti. Naif sekali jika jumlah kawan dihitung melalui jumlah rakan di Facebook ataupun gambar yang dimuatnaik di Facebook setelah keluar bersama rakan-rakan. Tidak perlu rasanya untuk setiap kali keluar dengan rakan-rakan terutama yang sejantina, bergambar bersama-sama lalu diwar-warkan di Facebook. Mungkin ada lelaki yang sedemikian rupa dan caranya, tetapi itu bukan cara aku. Dan bukan cara aku untuk mengajak rakan-rakan lain keluar, diiklankan di Facebook. Tapi aku lebih gembira bila aku pergi kemana-mana sekalipun, pasti ada yang menegur aku kerana mereka adalah kawan aku. Ya. Walaupun tidak bergambar, tidak disenaraikan di Facebook, dan tidak diajak makan bersama. Bagaimana caranya untuk keluar makan bersama dengan rakan-rakan kampus dahulu serta bergambar bersama seandainya setiap hari melihat muka yang sama di rumah. Maaf. Lupa hendak khabarkan kepada semua orang, aku tinggal bersama rakan-rakan kampus aku dahulu. Tidak perlu berjanji untuk bertemu di luar. Atau pergi menginap bermalam di rumah rakan lain.  Mungkin bila kami makan bersama di rumah, akan aku rakamkan dan nanti dimuatnaik di Youtube pula.

Sekalung penghargaan aku ucapkan kepada mereka-mereka yang terlalu mengambil berat terhadap aku dan pasangan aku. Sehingga sekecil-kecil kuman pun perlu ditenung-tenung, direnung-renung sehingga menimbulkan resah dan gundah gulana. Tiada sahabat sesuci semurni hati mu, kawan. Terima kasih di atas segala porak-peranda yang dimulakan, begitu manis sekali rasanya. Kenangan mengusik jiwa. Segala teguran dan nasihat yang dilemparkan akan aku jadikan panduan sepanjang hidup aku dan diharap kamu pun sama mempraktikkannya ya. Terima kasih di atas segala-galanya. Jika ini caranya kamu mendoakan kebahagian kawan, kecil tapak tangan, Bima Sakti kami tadahkan.

Jadi, dari hari ini, aku doakan hidup yang sempurna bahagia dunia dan akhirat kepada kamu, sahabat baik teman hidup aku. Segala usaha murnimu, hanya Allah sahaja yang mampu balas. Maklumlah, jika hendak diberikan balasan oleh kami pun, habis bergolok bergadai pun belum cukup untuk balasan yang setimpal. Diharapkan suasana yang tenang selama beberapa minggu lepas semenjak serangan pemula kamu itu dikembalikan semoga hidup kita masing-masing di landasan yang tepat. Cukuplah dengan tindakan baculmu setakat pandai bermain dengan kata-kata. Sebarkanlah propagandamu itu. Insyaallah, tak di dunia pun, di akhirat, semua yang terlibat akan tahu juga. Dan rahsia yang dicanang-canang itu, bukanlah rahsia oleh kerana aku telah bercerita kepada pihak yang berhak tahu sejurus kejadian.

Mungkin kurang hikmahnya apabila seorang yang terpalit dengan dosa seperti aku bercerita tentang agama, akhirat, dosa dan pahala. Manusia tiada yang maksum seperti nabi dan rasul. Terima kasih kerana sudi membaca. Malang sungguh nasibku yang tidak berpeluang bertindak seperti anda dalam tempoh beberapa bulan ini. Usaha-usaha anda itu semua diiringi oleh pahala-pahala yang besar. Tahniah diucapkan.

Kepada semua yang terlibat aku ucapkan terima kasih di atas kenangan yang terindah ini. Jika ada sumber kewangan yang lebih, teringin juga aku filemkan krisis ini, tak pun dicatatkan dalam bentuk novel. Bertajuk 'Seorang Rakan Baik Yang Cuba Menyelamatkan Rakannya Daripada Ditipu Teman Lelaki.'

Semoga tiada lagi perkara yang menyakitkan mata, membingitkan telinga, menyesakkan dada selepas ini. Semoga bahagia menjelajah ke dunia baru tidak lama lagi.

Sebelum berhenti, renung-renungkanlah sedutan daripada filem Ahmad Albab ini.


Minit 03.42 - 03.47

"Kekayaan, kebahagian rumahtangga, semua datang daripada Allah. Bukan daripada 'bapak'."

Tenkiu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails